Mengikut cerita lama, nama Bentong dahulunya dikenali sebagai Kapong. Pada waktu itu, Bentong berpusat di sekitar kawasan pasar iaitu di pertemuan antara Sungai Repas dan Sungai Perting. Ia mula menjadi pusat tumpuan apabila bijih timah ditemui di kedua-dua sungai tersebut.
 
Pelombong-pelombong bijih timah telah membina satu ban untuk melombong bijih timah bagi mendapat hasil yang lebih menguntungkan. Peristiwa ini telah menjadi bualan orang luar dan mereka telah menamakannya sebagai “Ban Untung” (ban yang menguntungkan). Perkataan “Ban Untung” menjadi lebih dikenali oleh orang ramai berbanding dengan Kapong. Lama-kelamaan perkataan “Ban Untung” bertukar menjadi Bentong.
 
Dari cerita lain yang ditulis oleh Pak Zek (Allahyarham Dato’ Zakaria Hitam, seorang Budayawan Pahang), perkataan Bentong berasal daripada perkataan Bapong yang bermaksud timbul.